Maafkan Kami!

//Maafkan Kami!

Maafkan Kami!

Lubnan, sebuah negara yang lebih kecil dari negeri Johor, kedudukan nya menghadap laut mediterranean pernah menjadi salah satu pusat perlancongan maha agung suatu ketika dahulu. Namun, dari satu krisis ke satu krisis yang lainnya, Negeri Syam ini terjerumus dan diheret ke sudut penuh pancaroba, mengikis keamanan yang pernah membalutinya.

Dan aku bersama 10 lagi sahabat menjadi sahabat lain untuk negeri ini. Sahabat yang dihantar untuk berkhidmat atas nama kemanusiaan selama 2 bulan. Menjadi negeri tetangga kepada Syria, Lubnan menjadi salah sebuah negara yang menjadi negera perlindungan bagi rakyat-rakyat Syria yang terpaksa lari dari kejejaman dan kematian.

Menurut statistik yang di keluarkan oleh UNHCR, lebih sejuta rakyat Syria menjadi pelarian di Lubnan, dan hampir sejuta lagi menjadi pelarian “haram”. Baru bangun dari runtuhan krisis yang tidak pernah surut, Lubnan tidak berupaya menanggung beban yang semakin mencengkam dek penambahan bilangan pelarian saban tahun.

Aku tidak tahu dari mana harus aku mulakan cerita ini, kerana terlalu banyak ilmu baru yang aku belajar beserta segala pengalaman pahit dan manis yang tidak akan sesekali aku lupakan. Terlalu banyak cerita yang ingin aku kongsikan bersama sepanjang perjalanan aku di Lubnan sebagai seorang sukarelawan yang mengubah hidup aku 360 darjah dan memori ini tidak akan pudar dalam ingatan aku sampai bila-bila. Ianya amat berharga untuk aku kenang seumur hidup.

Masih aku ingat, ketika aku dan sahabat yang lain berada dan bermalam di salah sebuah kem pelarian di Akkar, daerah terpencil di Tripoli. Mungkin menjadi adat budaya dan kemengahan mereka, mereka begitu menyantuni dan melayani tetamu. Kami, entah boleh dipanggil tetamu atau tidak, maklumlah kami bermalam di sana untuk 7 hari, dijemput setiap malam ke rumah “khemah” mereka, hatta untuk meminum segelas chai panas. Bahkan, dek kerana ramainya yang menjemput kami untuk satu satu malam, menyebabkan kami kepenatan dan tidak berkesempatan untuk memenuhi jemputan mereka. Walaupun kami tidak berupaya berkunjung ke rumah mereka, mereka akan tetap menghantar sesuatu ke khemah kami. Aku jadi terfikir, kesusahan mereka, penderiataan mereka tidak mengecilkan hati-hati besar mereka untuk memuliakan dan melayani sebaik mungkin “tetamu” mereka ini. Aku jadi segan. Sejujurnya.

Dan, aku masih teringat akan cerita malam terakhir kami di sana. Anak kecil, Ibrahim namanya, datang kepada kami, mengajak kami ke teratak khemah milik keluarganya. Menjemput sendiri kami dari khemah kami, anak kecil itu sedia menjadi pemandu arah bagi kami. Hah! Ibrahim, aku harap kau besar kelak akan memandu keluarga dan bangsamu keluar dari kesusahkan demi kesusahan ini.

Ibrahim mempunyai lima adik beradik, dan dia yang ke empat. Kecil tapi pintar menjalani liku-liku hidup. Khemah yang kami tuju malam itu adalah sebuah khemah yang dijadikan kedai runcit olah ayah Ibrahim. Ibrahim dan keluarga tetap menghuni khemah tersebut walaupun fungsi sebuah berubah dek kekangan yang maha banyak. Yang pasti aku tidak boleh lupakan apabila ibu Ibrahim yang mulanya sihat terkena sawan dihadapan kami. Aku sejujurnya kaget.

Kesakitan yang dirasai oleh ibu Ibrahim tidak dapat aku bayangkan, yang pasti kesakitannya lebih besar daripada jumlah buih-buih yang keluar dari mulutnya.

Menurut ayah Ibrahim, isterinya seing mengalami sawan setelah bekalan ubat habis. Apa yang boleh aku lalukan selain terkesima dan menunggu sawan ibu Ibrahim pulih sendirinya. Aku sedih.

Aku sedih dengan ibu Ibrahim. Aku sedih dengan Ibrahim. Aku sedih dengan ayah Ibrahim. Aku sedih kerana mereka hidup dalam serba tanpa pasti, serba tidak cukup, serba todak ada hatta walau bekalan ubat. Bukan sekadar ubat, mereka tidak punya kenderaan untuk ke klinik mahupun hospital.

Aku dan sahabat lain terlalu kerdil untuk membantu semua orang kami sapa di lorong-lorong di kem-kem pelarian yang kami inapi. Maafkan kami wahai ibu, wahai ayah, wahai anak, kamu kami tinggal tanpa kesenangan dan keselesaan. Maafkan kami hanya datang dan pergi tanpa membawa keluar kami dari masalah.

Nota kaki: Gambar bersama keluarga Ibrahim tidak dapat aku tunjukkan di atas permintaan keluarha Ibrahim yang tidak mahu gambar mereka di masukkan ke dalam mana-mana laman sosial.


Gambar bersama salah sebuah keluarga yang kami ziarah.

By | 2017-03-24T10:51:07+00:00 March 8th, 2017|Article|0 Comments

About the Author:

Leave A Comment