Spread the love

Ipoh Seorang bekas jururawat merayu bantuan daripada orang ramai bagi menampung kos perubatan mencuci luka di kaki kanannya akibat menghidap penyakit diabetes sejak lapan bulan lalu.

C Logapusnam, 35, terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung kerjayanya sebagai jururawat selepas mengalami ‘necrotizing faciites’ berpunca daripada penyakit diabetis yang dialaminya.

Menurutnya, pada 23 Disember tahun lalu dia terpaksa menjalani pembedahan disebabkan penyakit tersebut bertambah serius.

“Selepas pembedahan, saya terpaksa menggunakan perkhidmatan rawatan mencuci luka setiap tiga kali seminggu yang menelan kos sebanyak RM140 sekali.

“Saya tidak mampu untuk menanggung kos tersebut kerana tiada pendapatan selepas berhenti kerja,” jelasnya yang tinggal di Taman Mewah, Bercham di sini.

Katanya, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori sayur juga telah diberhentikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Oleh itu, saya merayu agar ada pihak sudi membantu kos rawatan yang diperlukan supaya saya sihat dan mampu bekerja semula dengan segera.

“Suami juga sudah berusaha untuk mencari pekerjaan namun sehingga kini masih tidak berjaya disebabkan pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, saya berharap jika ada pihak yang mempunyai tawaran pekerjaan untuk tampil membantu suami supaya kami memperoleh sumber kewangan bagi menampung kehidupan harian,” ujarnya yang mempunyai dua orang anak itu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Cawangan Tambun, K Dinesh berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu keluarga ini selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, baru-baru ini Logapusnam sudah memohon bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan masih menunggu jawapan daripada pihak berkenaan.

“Seljurus mendapat maklumat berhubung Logapusnam, kita turun padang bersama seorang doktor bagi mendapatkan perincian berhubung penyakitnya itu.

“Selepas meneliti masalah yang dihadapi, kita akan cuba membantu dari segi mempercepatkan urusan permohonannya dengan Perkeso.

“Selain itu, kita akan berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada hospital atau klinik kerajaan supaya kos mencuci luka dan rawatan berkaitan dapat dikurangkan,” katanya.

Terdahulu, Dinesh menyampaikan sumbangan kotak makanan dan wang tunai bagi menampung kos rawatan kaki Logapusnam.

Hadir sama, Pegawai Perubatan, Dr S Vasumathy dan Sukarelawan Ahli Dewan Belia Negeri Perak, Kushwinder Singh.

Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Logapusnam di talian 011-2785 4406 atau Dinesh di talian 014-343 5511.

Sumber: Peraktastic


Spread the love